JERTIH - Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) menafikan telah menipu seramai 2,418 peserta yang kebanyakannya adalah guru, untuk mengikuti program umrah anjuran yayasan tersebut.
Pengarah Eksekutifnya, Mohd Adam Mohd Ghazali mendakwa, punca penangguhan dan pindaan tarikh penerbangan ke tanah suci itu disebabkan pihaknya lewat menerima sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat daripada beberapa syarikat korporat.
Menurutnya, daripada keseluruhan peserta, seramai 1,218 orang ditaja sepenuhnya YBNT, baki 1,200 orang lagi hanya perlu membayar sebahagian atau kurang daripada kos sebenar, sementara selebihnya ditaja yayasan tersebut.

“Empat kategori bayaran dikenakan iaitu ada yang perlu bayar RM500, RM2,000, RM2,500 dan paling tinggi RM3,000, bergantung kepada taraf hidup serta pekerjaan peserta. Kebanyakan yang perlu membayar RM3,000 terdiri daripada guru, pegawai kerajaan atau ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya, di sini, malam kelmarin, bagi mengulas dakwaan YBNT menipu peserta apabila mereka membayar RM3,000, namun penerbangan ditangguhkan sehingga sekarang tanpa memberi alasan kukuh.
Mohd Adam berkata, kelewatan menerima dana tersebut untuk program akhir tahun ini menyebabkan pihaknya gagal menepati masa ditetapkan syarikat penerbangan.
Bagaimanapun, kata Mohd Adam, pihaknya masih mampu menghantar sehingga 40 peratus daripada peserta, tetapi untuk berlaku adil kepada semua peserta menyebabkan tarikh penerbangan ditunda.
“Setelah berbincang dengan beberapa pihak kerana mengambil kira beberapa faktor penting khususnya kelewatan menerima bajet korporat YBNT, maka kita mengambil keputusan untuk menunda tarikh penerbangan sepatutnya pada 11 hingga 16
Disember ini secara berperingkat kepada Mac dan Mei tahun depan.

“Bagi peserta yang tidak mahu meneruskan program ini pada Mac atau Mei depan, bolehlah menuntut bayaran deposit mereka bermula minggu ketiga Januari depan kerana buat masa ini kita perlu semak semula senarai peserta,” katanya.

Tambah Mohd Adam, sebelum ini pihaknya telah mengembalikan wang kepada seramai 247 peserta terlibat.
Menurutnya lagi, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) tidak terlibat dalam isu tersebut kerana semua urusan peserta ke tanah suci diuruskan YBNT.
"JPNT hanya membantu menyediakan prasarana seperti dewan untuk taklimat kepada guru-guru bagi tujuan menjimatkan kos dan membuat pemilihan guru yang layak untuk memenuhi kuota percuma menunaikan umrah sebagaimana diminta YBNT," katanya.
Mohd Adam berkata, yayasan tersebut yang merupakan NGO berdaftar, telah menaja 23 siri umrah secara percuma membabitkan golongan pendidik dan masyarakat tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, YBNT turut menaja program kecemerlangan pendidikan khususnya di negeri ini mencecah RM10 juta pada tahun ini.
“Lima tahun yayasan ini membina nama baik, namun tercalar teruk berikutan isu ini,” katanya.
Sementara itu, seorang guru lelaki berusia 50-an yang enggan dikenali memberitahu, dia membayar RM12,000 kepada YBNT bagi membolehkan dia bersama tiga ahli keluarganya mengerjakan umrah sebagaimana kuota ditawarkan kepada guru.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau sangsi dengan kaedah pengendalian program itu dan kebimbangannya semakin kuat apabila tarikh penerbangan ke tanah suci ditangguh beberapa kali.
“Saya buat bayaran secara tunai di pejabat YBNT dan mendapat surat penerimaan bayaran. Saya tidak tahu bagaimana dengan rakan–rakan saya yang buat bayaran secara deposit ke akaun bank YBNT,” katanya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri berkata, setakat ini satu laporan polis dibuat di Kuala Lumpur oleh wakil ejen umrah yang dikaitkan dengan pengurusan pakej umrah peserta terbabit ke tanah suci.
Menurutnya, ejen tersebut membuat laporan polis kerana bimbang pihaknya perlu bertanggungjawab menyebabkan kegagalan peserta ke tanah suci.
“Kes ini disiasat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.